KEAZAMAN

Syaitan akan sentiasa mencari peluang untuk menghancurkan manusia.

Musuh nyata kita bukan manusia tetapi adalah syaitan!

Syaitan akan bersungguh-sungguh menyuruh kita melakukan yang haram, ataupun meninggalkan yang wajib. Tapi jika tidak berjaya, syaitan akan menukar rancangan dengan menyuruh kita melakukan makruh ataupun meninggalkan sunnah.

Pada zaman dahulu, ada seorang hamba Allah yang keluar daripada rumahnya untuk pergi ke masjid pada waktu subuh. Tatkala itu, turun hujan yang lebat. Maka terlintas di hatinya, nanti akan basah pakaiannya dan khuatir boleh tergelincir jikalau pergi ke masjid.

Lalu ingin dianggap sahaja hujan ini sebagai uzur baginya untuk ke masjid. Namun, hatinya tidak berpuas hati dan tidak rasa aman jikalau tidak solat di masjid, lalu terus keluar untuk pergi ke masjid.

Dalam perjalanannya beliau tergelincir, menyebabkan bajunya basah, terlintas di hatinya, andainya tidak keluar tadi, mungkin lebih baik iaitu tidak perlu jatuh dan baju tidak basah. Bajunya juga tidak banyak yang dipunyai.

Kemudian beliau pulang untuk menukar pakaian dan berhajat untuk solat sahaja di rumah. namun, hatinya masih merasa seakan tidak sah jikalau tidak solat di masjid. Beliau pun memaksa diri dan keluar untuk kali yang kedua menuju ke masjid, dan beliau juga berhati-hati di tempat pertama yang beliau jatuh tadi. Setelah itu, dalam perjalanan di hadapan beliau jatuh juga, tergelincir di tempat lain yang juga membasahi pakaiannya.

Terus beliau patah balik ke rumahnya dan kebetulan masih ada satu pakaian untu dipakainya. Selepas itu, beliau memaksakan diri keluar juga untuk tetap ke masjid.

Dalam perjalanannya kali ini, beliau lebih berhati-hati supaya tidak jatuh di tempat pertama dan kedua yang beliau pernah jatuh tadi. Hampir sahaja ingin sampai ke masjid, beliau tergelincir juga di tempat yang lain. Tidak sempat beliau jatuh, ada seseorang menangkap tangannya supaya tidak jatuh.

Orang itu menuntun tangan beliau sehingga sampai ke masjid lalu ditinggalkan beliau tanpa orang itu memasuki masjid.

"Kamu ini siapa, orang yang menghantarkan aku ke masjid 

dan menyelamatkan aku daripada jatuh kali yang ketiga?"

Lalu dijawab,

"Kamu tidak perlu risau pasal aku. 

Teruskan sahaja masuk masjid. 

Biarkan kamu jalankan tugasan kamu dan aku jalankan tugasan aku"

Kemudian, terus ditanya,

"Aku bersumpah demi Allah, 

khabarkanlah engkau ini siapa yang menyelamatkan aku sebentar tadi?"

Setelah itu, dijawab,

"Aku ini ialah syaitan"

Dengan terkejut mendengarnya dan terus ditanya,

"Bagaimana engkau syaitan namun membantu aku untu ke masjid?"

Jawab syaitan itu,

"Tadi kamu kali pertama jatuh.

 Kemudian kamu patah balik menukarkan pakaian yang bersih dan terus juga ingin ke masjid.

Allah mengampunkan semua dosa kamu. 

Kali yang kedua, kamu jatuh dan patah balik menggantikan pakaian lain yang bersih lalu pergi lagi menuju masjid. 

Allah mengampunkan semua dosa ahli keluarga kamu. 

Jikalau kali yang ketiga ini aku tidak menolong kamu, 

Allah akan ampunkan seluruh manusia di kampung kamu

 yang sebelum ini aku telah bersusah payah menyesatkan mereka."

Sumber : Buku Nasihat Buat Diri - Habib Ali Zaenal Abidin




Comments

Popular posts from this blog

REPOST : SELFCARE

INTENTION : DAILY ROUTINES

JAGA MULUT